Ahad, 20 September 2015

Pembaikan Tahun 2015(Tukar Timing Chain)

Ini merupakan catatan pertama saya untuk tahun 2015. Sebenarnya rasa macam tiada apa lagi yang hendak diceritakan berkaitan motosikal saya tapi entah mengapa motosikal saya tiba-tiba mengeluarkan bunyi pelik pada bahagian injin. Bunyi yang terhasil adalah seperti bunyi rantai yang kendur di bahagian injin. Bunyi itu kadang-kadang ada dan kadang-kadang hilang. Apabila injin mula dihidupkan setelah beberapa saat bunyi rantai ini akan kedengaran pada bahagian injin dan apabila injin sudah jalan atau bila sudah betul-betul panas bunyi rantai ini akan hilang. Walaupun bunyi yang terhasil ini tidak mencacatkan kuasa injin tetapi rasa tak sedap kerana bunyi yang terhasil tersebut. Saya risau kiranya bunyi tersebut akan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk kepada motosikal.

Set timing chain bersama slipper dan juga tensenor.

Saya terus membuat rujukan dan bertanya kepada kekawan yang lebih arif berkaitan motosikal CBX ini dan jawapan yang paling kerap saya dapat ialah bunyi yang terhasil tersebut datangnya dari timing chain. Ini bermakna timing chain, slipper dan tensenor perlu di periksa dan diganti jika perlu. Sebenarnya saya ada juga sedikit sebanyak pengetahuan berkaitan injin Honda CBX 750 ini dan sekiranya hendak menukar timing chain perkara yang perlu dilakukan ialah injin perlu di rombak sepenuhnya atau perlu dibuat overhaul. Bila citer pasal overhaul banyak kerja dan perbelanjaan yang perlu disediakan. Overhaul perlu dilakukan kerana timing chain motosikal ini telah bersambung dan tidak boleh di potong jadi injin perlu dibaraikan untuk memasang timing chain pada crankshaft atau pun aci angkol.

Timing Chain Honda CBX 750 .

Setelah mendapat nasihat dan membuat sedikit rujukan saya mengambil keputusan untuk menukar timing chain ini tanpa perlu overhaul keseluruhan injin. Caranya ialah dengan memotong timing chain tersebut kemudian sambungkan dengan yang lama kemudian pusingkan crank shaft untuk menggantikan timing chain yang lama. Dengarnya macam mudah tapi kerjanya saya pasti cukup rumit. Walaubagaimana pun projek tetap diteruskan.

Kerja pertama ialah membuka bahagian injin iaitu bahagian atas sahaja sehingga ke blok motosikal. Yang perlu dibuka ialah head, kaburator, tensenor, eksos dan beberapa bahagian lain.





Proses merombak injin untuk menukar timing chain.

Kemudian dengan menggunakan pemotong rantai basikal saya memotong timing chain lama kemudian saya cantumkan dengan timing chain yang baru.
Timing Chain dipotong menggunakan pemotong rantai basikal.

Ramai yang mengatakan teknik ini dinamakan sebagai "pancing". Setelah disambung dengan timing chain yang baru barulah crankshaft dipusingkan. Kemudian setelah keseluruhan timing chain yang lama dapat dikeluarkan potong semula timing chain tersebut. Setelah timing chain dapat diganti dengan yang barulah ianya di cantumkan semula.

Timing Chain lama dan baru yang di potong kemudian di cantum semula.

Kerja ini perlu dibuat secara berhati dan perlu ditanda dengan betul. Takut-takut tersalah potong ataupun tersalah sambung, jadi pastikan bahagian yang bersambung ditanda dengan betul.

Setelah timing chain ini di sambung seterusnya ialah memeriksa bahagian lain yang berkaitan dengan timing chain iaitu slipper dan juga tensenor. Tensenor nampaknya masih elok dan boleh digunakan tetapi slipper terdapat kesan haus dan tidak boleh digunakan lagi. Jadi ianya perlu ditukar.

Slipper timing chain yang telah haus.

Setelah diganti dengan yang baru barulah injin di pasang semula. Ternyata ia bukanlah satu kerja yang mudah dan perlu dilakukan  secara teliti dan tidak boleh tergesa-gesa. Saya mengambil masa selama lima hari untuk kerja merombak dan memasang kembali injin motosikal ini. Kerja ini bukan lah dilakukan sepanjang masa. Ianya dilakukan jika ada masa yang terluang dan juga masa cuti.

Kepada mereka yang ingin melakukan sendiri kerja-kerja ini sila dapatkan nasihat terlebih dahulu dari mereka yang berpengalaman kerana selain dari teknik pemasangan timing chain yang perlu tepat injin CBX ini juga memerlukan special tool sekiranya kita hendak membuka injinnya. Tanpa special tool adalah mustahil untuk membuka injin ini. Salah satu contoh special tool ialah sepana box saiz 10mm. Ianya mestilah panjang dan kecil. Kalau gunakan sepana biasa yang pendek dan besar ianya tak boleh digunakan untuk membuka dan memasang head block.

Salah satu special tool bagi sepana box saiz 10mm.

Akhirnya selesai juga kerja-kerja menukar timing chain dan juga slipper motor cbx 750 ini. Apabila injin dihidupkan ternyata injin tidak lagi menghasilkan bunyi rantai. Barulah sedap telinga mendengar......lalalala.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan