Ahad, 20 September 2015

Pembaikan Tahun 2015(Tukar Timing Chain)

Ini merupakan catatan pertama saya untuk tahun 2015. Sebenarnya rasa macam tiada apa lagi yang hendak diceritakan berkaitan motosikal saya tapi entah mengapa motosikal saya tiba-tiba mengeluarkan bunyi pelik pada bahagian injin. Bunyi yang terhasil adalah seperti bunyi rantai yang kendur di bahagian injin. Bunyi itu kadang-kadang ada dan kadang-kadang hilang. Apabila injin mula dihidupkan setelah beberapa saat bunyi rantai ini akan kedengaran pada bahagian injin dan apabila injin sudah jalan atau bila sudah betul-betul panas bunyi rantai ini akan hilang. Walaupun bunyi yang terhasil ini tidak mencacatkan kuasa injin tetapi rasa tak sedap kerana bunyi yang terhasil tersebut. Saya risau kiranya bunyi tersebut akan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk kepada motosikal.

Set timing chain bersama slipper dan juga tensenor.

Saya terus membuat rujukan dan bertanya kepada kekawan yang lebih arif berkaitan motosikal CBX ini dan jawapan yang paling kerap saya dapat ialah bunyi yang terhasil tersebut datangnya dari timing chain. Ini bermakna timing chain, slipper dan tensenor perlu di periksa dan diganti jika perlu. Sebenarnya saya ada juga sedikit sebanyak pengetahuan berkaitan injin Honda CBX 750 ini dan sekiranya hendak menukar timing chain perkara yang perlu dilakukan ialah injin perlu di rombak sepenuhnya atau perlu dibuat overhaul. Bila citer pasal overhaul banyak kerja dan perbelanjaan yang perlu disediakan. Overhaul perlu dilakukan kerana timing chain motosikal ini telah bersambung dan tidak boleh di potong jadi injin perlu dibaraikan untuk memasang timing chain pada crankshaft atau pun aci angkol.

Timing Chain Honda CBX 750 .

Setelah mendapat nasihat dan membuat sedikit rujukan saya mengambil keputusan untuk menukar timing chain ini tanpa perlu overhaul keseluruhan injin. Caranya ialah dengan memotong timing chain tersebut kemudian sambungkan dengan yang lama kemudian pusingkan crank shaft untuk menggantikan timing chain yang lama. Dengarnya macam mudah tapi kerjanya saya pasti cukup rumit. Walaubagaimana pun projek tetap diteruskan.

Kerja pertama ialah membuka bahagian injin iaitu bahagian atas sahaja sehingga ke blok motosikal. Yang perlu dibuka ialah head, kaburator, tensenor, eksos dan beberapa bahagian lain.





Proses merombak injin untuk menukar timing chain.

Kemudian dengan menggunakan pemotong rantai basikal saya memotong timing chain lama kemudian saya cantumkan dengan timing chain yang baru.
Timing Chain dipotong menggunakan pemotong rantai basikal.

Ramai yang mengatakan teknik ini dinamakan sebagai "pancing". Setelah disambung dengan timing chain yang baru barulah crankshaft dipusingkan. Kemudian setelah keseluruhan timing chain yang lama dapat dikeluarkan potong semula timing chain tersebut. Setelah timing chain dapat diganti dengan yang barulah ianya di cantumkan semula.

Timing Chain lama dan baru yang di potong kemudian di cantum semula.

Kerja ini perlu dibuat secara berhati dan perlu ditanda dengan betul. Takut-takut tersalah potong ataupun tersalah sambung, jadi pastikan bahagian yang bersambung ditanda dengan betul.

Setelah timing chain ini di sambung seterusnya ialah memeriksa bahagian lain yang berkaitan dengan timing chain iaitu slipper dan juga tensenor. Tensenor nampaknya masih elok dan boleh digunakan tetapi slipper terdapat kesan haus dan tidak boleh digunakan lagi. Jadi ianya perlu ditukar.

Slipper timing chain yang telah haus.

Setelah diganti dengan yang baru barulah injin di pasang semula. Ternyata ia bukanlah satu kerja yang mudah dan perlu dilakukan  secara teliti dan tidak boleh tergesa-gesa. Saya mengambil masa selama lima hari untuk kerja merombak dan memasang kembali injin motosikal ini. Kerja ini bukan lah dilakukan sepanjang masa. Ianya dilakukan jika ada masa yang terluang dan juga masa cuti.

Kepada mereka yang ingin melakukan sendiri kerja-kerja ini sila dapatkan nasihat terlebih dahulu dari mereka yang berpengalaman kerana selain dari teknik pemasangan timing chain yang perlu tepat injin CBX ini juga memerlukan special tool sekiranya kita hendak membuka injinnya. Tanpa special tool adalah mustahil untuk membuka injin ini. Salah satu contoh special tool ialah sepana box saiz 10mm. Ianya mestilah panjang dan kecil. Kalau gunakan sepana biasa yang pendek dan besar ianya tak boleh digunakan untuk membuka dan memasang head block.

Salah satu special tool bagi sepana box saiz 10mm.

Akhirnya selesai juga kerja-kerja menukar timing chain dan juga slipper motor cbx 750 ini. Apabila injin dihidupkan ternyata injin tidak lagi menghasilkan bunyi rantai. Barulah sedap telinga mendengar......lalalala.


Ahad, 4 Januari 2015

Tranformasi sebelum 2015

Sempena tahun baru 2015 saya telah membuat sedikit tranformasi akhir motosikal Honda CBX 750P saya. Mungkin tidak banyak perubahan pada motosikal tersebut tapi inilah perubahan terakhir bagi tahun 2014, mungkin ada lagi perubahan bagi tahun 2015 ini tapi saya sendiri pun dah tak tahu apa lagi yang hendak diubah. Sesiapa yang ada idea kepada tranformasi motosikal ini silalah ajukan cadangan anda, mungkin idea itu dapat di realisasikan.



Perubahan terkini yang saya buat kepada motosikal ini ialah menukar hose paip bagi brake hadapan. Saya menukar hose lama yang diperbuat daripada getah kepada hose steel. Penyambung brek ini saya letakkan di fork breace. Kos untuk menukar 3 batang hose ini dan dicampur dengan kos menukar bendalir brek Dot 4 lebih kurang hampir RM100 sahaja.

 Penyambung sistem brek diletak pada fork breace.

Sistem salur hose brek dari steel.


Selain dari itu saya juga menukar hampir keseluruhan bolt dan nut yang terdapat pada motosikal ini. Bolt dan nut lama ada yang sudah berkarat dan ada sedikit kehausan pada bahagian kepala bolt. Saya menukar kepada bolt nut yang diperbuat dari stainless steel kerana ianya tidak berkarat dan sentiasa berkilat. Kepala bolt ini semuanya berbentuk cendawan dan diikat menggunakan allen key yang lebih mudah untuk dipasang. Boleh dikatakan hampir 90 peratus bolt dan nut pada motosikal ini ditukar kepada yang baru. Kos untuk menukar keseluruhan bolt dan nut ini lebih kurang dalam RM 60 ke RM 70 sahaja.

Bolt pada clutch cover. 

Bolt pada penutup tangki bendalir clutch dan brek patut ditukar kepada bolt stainless steel. 


Bolt pada kaburator juga ditukar kepada yang baru.

Beberapa bahagian pada injin motosikal ini saya cat dengan warna hitam mati atau flet black seperti bahagian cover clutch, head block cover, alternator cover dan beberapa bahagian lain pada injin. Apabila dikenakan dengan bolt dan nut yang berkilat lebih nampak terserlah. Ianya juga nampak bersih dan kemas.


Selain dari itu ada lagi beberapa benda yang telah saya tukar kepada yang baru seperti Slider, Footrest dan juga fork cover. Slider saya buat yang baru daripada aluminium solid, begitu juga dengan footrest juga saya buat baru dengan menggunakan aluminium. Ianya saya gilap supaya nampak kilat dan cantik.

 Slider dan juga footrest yang diperbuat dari aluminium.


Pada bahagian fork yang terjojol keluar kerana saya merendahkan pada bahagian hadapan saya telah buatkan satu sarung untuk menutup fork yang terjojol ini. Saya telah buatkan sarung atau cover supaya nampak lebih cantik dan garang. Saya buat sarung ini dari aluminium yang kemudainnya saya gilap supaya nampak berkilat.



Ada beberapa bahagian pada motosikal ini yang saya cat dengan warna merah hati dan akhirnya beginilah rupa motosikal saya.



Berakhirnya 2014 dengan sedikit lagi perubahan, sipa tahu mungkin ditahun 2015 ada lagi beberapa perubahan. Semuanya bergantung kepada idea dan kewangan yang ada. Namun kegembiran melihat hasil tangan sendiri dapat memberikan kepuasan.

Marilah kita lihat video berkaitan motosikal ini .......