Selasa, 18 Ogos 2020

Tranformasi terkini 2020- Tukar lampu besar

Salam sejahtera kepada semua yang berminat kepada tranformasi motosikal......

Lama betul rasanya tak jenguk ke laman blog ni dan lama betul tak bercerita berkaitan dengan tranformasi motosikal Cbx750 ini. Sebenarnya memang telah lama tak ada perubahan dengan motosikal ini....almaklumlah usia pun dah meningkat jadi kudrat yabg ada rasanya tidak begitu banyak untuk melakukan kerja berat dalam pengubahsuai motosikal ini.

Walau bagaimana pun minat terhadap kerja pengubahsuai motosikal ini tak pernah padam. Jadi pengubahsuai tetap dilakukan tapi dalam kuantiti kerja yang lebih sedikit atau pun ringan-ringan sahaja. Anak isteri ada menyuarakan pendapat supaya saya menjual aja moto ini tapi rasa sayang pula. Kekadang terfikir juga untuk menjualnya dan kemudian beli motosikal baru yang tidak memerlukan kerja pengubahsuai. Tinggal pakai aja.......tapi saya merasa ianya seperti tiada kepuasan. Kalau motosikal seperti itu semua orang ada. Jadi tiada keistemewaannya.

Untuk kerja terkini tiada pengubahsuaian besar yang saya lakukan tetapi saya dapati lampu besar motosikal ini dah mula nampak uzur. Material plastik lampu suzuki belang yang saya gunakan mula nampak uzur dan banyak bahagian yng mula reput. Jadi saya mengambil keputusan untuk menukar lampu besar motosikal ini kepada lampu bulat yang lebih simple.

Walaupun nampak mudah tapi sebenarnya bukanlah mudah untuk menukar lampu yang berfiring kepada lampu bulat. Ini kerana cbx ini mempunyai banyak wayar yang berselirat yang sebelum ini dapat di lindungi dengan firing lampu suzuki belang. 

Pengaturan semula wire perlu dilakukan supaya tak nampak sangat wire tersebut. Nak potong saya takut akan menganggu sistem elektrikal motosikal ini.

Setelah beberapa hari kerja dilakukan secara perlahan-lahan dan akhirnya inilah hasilnya. Minta maaf kerana tiada gambar semasa kerja dilakukan.....terlupa.








Sampai di sini dahulu coretan saya. Sehingga berjumpa lagi dilain coretan diucapkan salam sejahtera......

Ahad, 7 April 2019

Tranformasi 2019 USD Fork



Salam sejahtera kepada semua pembaca.......

Cukup lama rasanya tak menulis di blog, samada blog cbx ni ataupun blog mountain bike(cerita-mtb.blogspot.com). Kedua-dua blog saya ini nampaknya kekeringan idea atau pun memang tiada perkara baru yang hendak saya ceritakan.

Baru-baru ini ada tranformasi baru yang saya buat pada motosikal saya iaitu menukarkan fork depan dengan UpSide Down Fork atau lebih dikenali dengan USD Fork. Memang telah lama saya ingin menukar kepada USD ni tapi disebabkan harganya yang sangat tinggi saya pendamkan dahulu. Saya pernah tanya fork usd 2nd tapi paling murah pun berharga 1k. Itu belum rim, brake caliper, tayar, mudguard dan sebagainya. Pernah tanya di kedai yang menjual barang motor 2nd. Harga yang ditawarkan ialah 2.5k, complete set. Dapat moto cubcai sebijik tu....hehehehe.

Jadi cita-cita untuk menukar usd di pendamkan dahulu. Tapi baru-baru ini ada iklan di FB ada seorang hamba Allah mengeluarkan iklan menjual USD fork motor Naza Blade 250 dengan harga patut dan dijual berserta rim dan brake caliper sekali. Harga yang ditawarkan tak sampai 1K.....nampak ini peluang yang sangat baik tapi brake calipernya hanya sebelah sahaja kerana yang sebelah telah pun dijual.

Setelah dihubungi dan berbincang saya pun pergi ke Segamat untuk membeli semua peralatan tersebut. Perjalanan dari Muar ke Segamat lebih kurang 1jam lebih. Jauh jugak tu tapi tak apa barang moto punya pasal sanggup.


Fork motosikal Naza Blade 250.

Semua barang dah mencukupi kecuali caliper brake sebelah kiri sahaja. Jadi bertanyalah dikedai-kedai untuk mendapatkan caliper tersebut dan akhirnya dapat dari kedai di serom dengan harga rm200. Boleh tahan juga harga tu.....macam harga baru aja. Tapi saya takada pilihan terpaksa la beli juga.

Setelah semua barang sudah mencukupi bermulalah kerja-kerja pemasangan. Kerja pertama ialah meleraikan fork lama.





Setelah keseluruhan fork lama berjaya di leraikan kerja seterusnya ialah mengukur kesesuaian fork baru dengan motor CBX 750 ini. Setelah pengukuran dibuat didapati T clamp moto naza ini batang tengahnya ternyata pendek dimana ianya kurang 50 mm berbanding dengan T yang asal.

Jadi penyambungan terpaksa dibuat dengan menyambung batang tengan T sebanyak 50mm. Cara yang saya buat ialah dengan memotong batang tengah tersebut dan dibuat penyambung untuk memanjangkannya.

 Batang tengah T dipotong untuk disambung dengan penyambung.

Penyambung dibuat dengan mesin larik dan kemudian di gegas(fit) dengan penekan hydraulik. Disebabkan bahagian ini memerlukan penyambungan yang kuat demi keselamatan, bahagian yang bersambung dikimpal untuk memastikan ianya betul-betul kuat dan tahan dalam apa juga keadaan. Sekiranya bahagian ini tertanggal akan membawa bencana yang besar kepada penunggang. Walaupun sudah di gegas dengan baik, kemudian di kimpal saya masih tidak puas hati.
Penyambung sebanyak 50 mm digegas pada T.
Selepas digegas, sambungan dikimpal

Untuk menambah keyakinan saya buat dua lubang di bahagian yang disambung dan kemudian diikat dengan bolt. Barulah saya yakin dan puashati dengan kekuatan sambungannya.



Setelah selesai kerja menyambung T ini saya cuba dipasang pada motosikal tetapi bonggol kiri kanan yang berhampiran dengan batang tengah terlalu besar dan bersentuhan dengan body. Jadi ianya terpaksa dipotong sedikit untuk mengecilkan bonggol tersebut.

Pemotongan bonggol pada T clamp.

Setelah berjaya dipotong bonggol tersebut maka selesailah satu bahagian dalam proses ini. Pemasangan T clamp menggunakan bearing asal motor cbx750.

 Seterusnya adalah pemasangan lain-lain bahagian tapi banyak juga pengubahsuaian perlu dilakukan kerana kedudukan yang berlainan dengan fork cbx yang asal.

Pengubahsuai yang perlu ialah seperti membuat tempat sensor speedometer. Motor ini menggunakan meter digital jadi tiada tempat untuk menempatkan sensornya. Jadi terpaksa dibuat holder untuk sensor tersebut.

Tempat kunci, meter dan lampu depan dibuat khas untuk menempatkan bahagian tersebut.
 Clamp kiri dan kanan terpaksa dibuat untuk memegang lampu hadapan.
Clamp diikat pada kiri dan kanan fork untuk menempatkan lampu hadapan.

Pemasangan roda depan berserta brake tidak memberi banyak masalah kerana master pump menggunakan pump asal cbx tapi caliper menggunakan naza blade. Cuma penyambungnya sahaja perlu dibuatkan kaki untuk menempatkannya.


Kerja membuat kaki untuk sistem brake.









Akhir sekali ialah pemasangan mudguard tapi mudguard ini perlu dicat dahulu dengan warna hitam.

Setelah selesai pemasangan kita tiba masa untuk menguji fork ini. Selepas ujian dilakukan ada 3 perkara yang perlu dilakukan.

Pertama - Handle terlalu berat dan perlu dilakukan pelarasan. Nut pengikat T clamp berlu dilonggarkan dan dilaras sehingga mencapai ikatan terbaik. Perlu dilakukan beberapa kali sehingga dapat ikatan yg sesuai.

Kedua - Fork ini untuk motosikal 250 dan tidak terlalu berat dan bila dipasang dengan motosikal 750 ianya menjadi terlalu lembut jadi bendalir fork perlu ditambah untuk menampung berat motosikal ini.
Tambahan bendalir fork perlu dilakukan untuk mengeraskannya.
Ketiga - Motosikal ini menjadi rendah sedikit bila menggunakan fork usd ini jadi bila tongkat motosikal menjadi tegak dan ditakuti akan tumbang ke sebelah kanan. Oleh itu tongkat perlu di tukar kepada yang lebih pendek.
Tongkat motosikal baru yang boleh dilaras kepanjangannya mengikut kesesuaian.

Akhirnya sempurnalah sudah projek menukar fork USD pada motosikal Honda CBX 750 ini. Buget keseluruhan menghampiri RM 1k dan masa yang diambil untuk menyiapkannya lebih kurang 1 bulan. Tayar hadapan juga ditukar tayar baru saiz 120/70/17.

Dan inilah hasilnya.........



Terima kasih kerana sudi jengah blog saya. Sehingga dilain modikasi salam sejahtera..........


Ahad, 20 September 2015

Pembaikan Tahun 2015(Tukar Timing Chain)

Ini merupakan catatan pertama saya untuk tahun 2015. Sebenarnya rasa macam tiada apa lagi yang hendak diceritakan berkaitan motosikal saya tapi entah mengapa motosikal saya tiba-tiba mengeluarkan bunyi pelik pada bahagian injin. Bunyi yang terhasil adalah seperti bunyi rantai yang kendur di bahagian injin. Bunyi itu kadang-kadang ada dan kadang-kadang hilang. Apabila injin mula dihidupkan setelah beberapa saat bunyi rantai ini akan kedengaran pada bahagian injin dan apabila injin sudah jalan atau bila sudah betul-betul panas bunyi rantai ini akan hilang. Walaupun bunyi yang terhasil ini tidak mencacatkan kuasa injin tetapi rasa tak sedap kerana bunyi yang terhasil tersebut. Saya risau kiranya bunyi tersebut akan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk kepada motosikal.

Set timing chain bersama slipper dan juga tensenor.

Saya terus membuat rujukan dan bertanya kepada kekawan yang lebih arif berkaitan motosikal CBX ini dan jawapan yang paling kerap saya dapat ialah bunyi yang terhasil tersebut datangnya dari timing chain. Ini bermakna timing chain, slipper dan tensenor perlu di periksa dan diganti jika perlu. Sebenarnya saya ada juga sedikit sebanyak pengetahuan berkaitan injin Honda CBX 750 ini dan sekiranya hendak menukar timing chain perkara yang perlu dilakukan ialah injin perlu di rombak sepenuhnya atau perlu dibuat overhaul. Bila citer pasal overhaul banyak kerja dan perbelanjaan yang perlu disediakan. Overhaul perlu dilakukan kerana timing chain motosikal ini telah bersambung dan tidak boleh di potong jadi injin perlu dibaraikan untuk memasang timing chain pada crankshaft atau pun aci angkol.

Timing Chain Honda CBX 750 .

Setelah mendapat nasihat dan membuat sedikit rujukan saya mengambil keputusan untuk menukar timing chain ini tanpa perlu overhaul keseluruhan injin. Caranya ialah dengan memotong timing chain tersebut kemudian sambungkan dengan yang lama kemudian pusingkan crank shaft untuk menggantikan timing chain yang lama. Dengarnya macam mudah tapi kerjanya saya pasti cukup rumit. Walaubagaimana pun projek tetap diteruskan.

Kerja pertama ialah membuka bahagian injin iaitu bahagian atas sahaja sehingga ke blok motosikal. Yang perlu dibuka ialah head, kaburator, tensenor, eksos dan beberapa bahagian lain.





Proses merombak injin untuk menukar timing chain.

Kemudian dengan menggunakan pemotong rantai basikal saya memotong timing chain lama kemudian saya cantumkan dengan timing chain yang baru.
Timing Chain dipotong menggunakan pemotong rantai basikal.

Ramai yang mengatakan teknik ini dinamakan sebagai "pancing". Setelah disambung dengan timing chain yang baru barulah crankshaft dipusingkan. Kemudian setelah keseluruhan timing chain yang lama dapat dikeluarkan potong semula timing chain tersebut. Setelah timing chain dapat diganti dengan yang barulah ianya di cantumkan semula.

Timing Chain lama dan baru yang di potong kemudian di cantum semula.

Kerja ini perlu dibuat secara berhati dan perlu ditanda dengan betul. Takut-takut tersalah potong ataupun tersalah sambung, jadi pastikan bahagian yang bersambung ditanda dengan betul.

Setelah timing chain ini di sambung seterusnya ialah memeriksa bahagian lain yang berkaitan dengan timing chain iaitu slipper dan juga tensenor. Tensenor nampaknya masih elok dan boleh digunakan tetapi slipper terdapat kesan haus dan tidak boleh digunakan lagi. Jadi ianya perlu ditukar.

Slipper timing chain yang telah haus.

Setelah diganti dengan yang baru barulah injin di pasang semula. Ternyata ia bukanlah satu kerja yang mudah dan perlu dilakukan  secara teliti dan tidak boleh tergesa-gesa. Saya mengambil masa selama lima hari untuk kerja merombak dan memasang kembali injin motosikal ini. Kerja ini bukan lah dilakukan sepanjang masa. Ianya dilakukan jika ada masa yang terluang dan juga masa cuti.

Kepada mereka yang ingin melakukan sendiri kerja-kerja ini sila dapatkan nasihat terlebih dahulu dari mereka yang berpengalaman kerana selain dari teknik pemasangan timing chain yang perlu tepat injin CBX ini juga memerlukan special tool sekiranya kita hendak membuka injinnya. Tanpa special tool adalah mustahil untuk membuka injin ini. Salah satu contoh special tool ialah sepana box saiz 10mm. Ianya mestilah panjang dan kecil. Kalau gunakan sepana biasa yang pendek dan besar ianya tak boleh digunakan untuk membuka dan memasang head block.

Salah satu special tool bagi sepana box saiz 10mm.

Akhirnya selesai juga kerja-kerja menukar timing chain dan juga slipper motor cbx 750 ini. Apabila injin dihidupkan ternyata injin tidak lagi menghasilkan bunyi rantai. Barulah sedap telinga mendengar......lalalala.


Ahad, 4 Januari 2015

Tranformasi sebelum 2015

Sempena tahun baru 2015 saya telah membuat sedikit tranformasi akhir motosikal Honda CBX 750P saya. Mungkin tidak banyak perubahan pada motosikal tersebut tapi inilah perubahan terakhir bagi tahun 2014, mungkin ada lagi perubahan bagi tahun 2015 ini tapi saya sendiri pun dah tak tahu apa lagi yang hendak diubah. Sesiapa yang ada idea kepada tranformasi motosikal ini silalah ajukan cadangan anda, mungkin idea itu dapat di realisasikan.



Perubahan terkini yang saya buat kepada motosikal ini ialah menukar hose paip bagi brake hadapan. Saya menukar hose lama yang diperbuat daripada getah kepada hose steel. Penyambung brek ini saya letakkan di fork breace. Kos untuk menukar 3 batang hose ini dan dicampur dengan kos menukar bendalir brek Dot 4 lebih kurang hampir RM100 sahaja.

 Penyambung sistem brek diletak pada fork breace.

Sistem salur hose brek dari steel.


Selain dari itu saya juga menukar hampir keseluruhan bolt dan nut yang terdapat pada motosikal ini. Bolt dan nut lama ada yang sudah berkarat dan ada sedikit kehausan pada bahagian kepala bolt. Saya menukar kepada bolt nut yang diperbuat dari stainless steel kerana ianya tidak berkarat dan sentiasa berkilat. Kepala bolt ini semuanya berbentuk cendawan dan diikat menggunakan allen key yang lebih mudah untuk dipasang. Boleh dikatakan hampir 90 peratus bolt dan nut pada motosikal ini ditukar kepada yang baru. Kos untuk menukar keseluruhan bolt dan nut ini lebih kurang dalam RM 60 ke RM 70 sahaja.

Bolt pada clutch cover. 

Bolt pada penutup tangki bendalir clutch dan brek patut ditukar kepada bolt stainless steel. 


Bolt pada kaburator juga ditukar kepada yang baru.

Beberapa bahagian pada injin motosikal ini saya cat dengan warna hitam mati atau flet black seperti bahagian cover clutch, head block cover, alternator cover dan beberapa bahagian lain pada injin. Apabila dikenakan dengan bolt dan nut yang berkilat lebih nampak terserlah. Ianya juga nampak bersih dan kemas.


Selain dari itu ada lagi beberapa benda yang telah saya tukar kepada yang baru seperti Slider, Footrest dan juga fork cover. Slider saya buat yang baru daripada aluminium solid, begitu juga dengan footrest juga saya buat baru dengan menggunakan aluminium. Ianya saya gilap supaya nampak kilat dan cantik.

 Slider dan juga footrest yang diperbuat dari aluminium.


Pada bahagian fork yang terjojol keluar kerana saya merendahkan pada bahagian hadapan saya telah buatkan satu sarung untuk menutup fork yang terjojol ini. Saya telah buatkan sarung atau cover supaya nampak lebih cantik dan garang. Saya buat sarung ini dari aluminium yang kemudainnya saya gilap supaya nampak berkilat.



Ada beberapa bahagian pada motosikal ini yang saya cat dengan warna merah hati dan akhirnya beginilah rupa motosikal saya.



Berakhirnya 2014 dengan sedikit lagi perubahan, sipa tahu mungkin ditahun 2015 ada lagi beberapa perubahan. Semuanya bergantung kepada idea dan kewangan yang ada. Namun kegembiran melihat hasil tangan sendiri dapat memberikan kepuasan.

Marilah kita lihat video berkaitan motosikal ini .......